COVID-19: '100,000 kes dalam 4 hari!' - WHO beri amaran pandemik semakin cepat merebak
Dr Tedros meminta orang ramai untuk tinggal di rumah dan mengikuti langkah penjarakan sosial bagi mengekang penularan virus itu. -AP |
GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran pandemik COVID-19 semakin cepat tersebar dengan lebih 300,000 kes dicatat kini.
Jangkitan yang pada mulanya mengambil masa 67 hari untuk mencapai 100,000 kes pertama cuma mengambil masa 11 hari untuk 100,000 seterusnya dan hanya empat hari untuk 100,000 kes selanjutnya.
Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus bagaimanapun berkata masih belum terlewat untuk dunia mengubah trajektori itu.
Dr Tedros turut meminta orang ramai agar tinggal di rumah dan mengikuti langkah-langkah 'Social Distance' sebagai usaha membendung virus corona dari terus merebak.
Tedros menggesa negara dunia menggunakan ujian ketat dan strategi menjejaki kontak.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar bersama Presiden FIFA, Gianni Infantino sempena kempen "Tumpaskan COVID-19."
Tedros memberikan analogi perlawanan bola sepak dalam menjelaskan cara untuk menghentikan penyebaran virus Corona dimana 'kemenangan' tidak dapat dicapai dengan hanya 'bertahan' sebaliknya harus 'menyerang'.
"Apa yang paling penting ialah apa yang dilakukan, anda tidak boleh memenangi perlawanan bola sepak dengan mempertahankan diri, anda mesti menyerang."
"Untuk menang, kita perlu menyerang virus dengan taktik yang agresif dan disasarkan - menguji setiap kes yang disyaki, mengasingkan dan menjaga setiap kes yang disahkan serta mengejar dan menjarakkan setiap pertemuan," katanya.