Covid-19. Ini Cara Pengeluaran Akaun 2 KWSP.
Pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) boleh membuat pendaftaran untuk pengeluaran kemudahan i-Lestari KWSP menerusi :
1. E-mel atau pos bermula 1 April 2020
2. Dalam talian (Online) bermula 1 Mei 2020
Ahli KWSP akan menerima bayaran ke akaun bank masing-masing bermula Mei ini. Butiran terperinci mengenai kaedah ini akan diwar-warkan sebelum 31 Mac.
Syarat Permohonan Pengeluaran Akaun 2 KWSP i-Lestari
Semua ahli KWSP yang berumur bawah 55 tahun boleh membuat pengeluaran wang simpanan dalam Akaun 2 masing-masing tertakluk kepada kadar maksimum RM500 sebulan untuk tempoh selama 12 bulan.
Inisiatif ini diumumkan sebagai salah satu langkah untuk menangani impak penularan virus COVID-19, dijangka memanfaatkan sehingga 12 juta ahli KWSP, dengan jumlah pengeluaran yang dianggarkan bernilai RM40 billion.
KWSP menyarankan ahli-ahlinya agar membuat pendaftaran secara dalam talian bermula 1 Mei kerana prosesnya lebih cepat dan tepat dan hanya mengambil masa tiga hari untuk diproses berbanding permohonan secara e-mel dan pos yang mungkin memakan masa lebih lama kerana pengesahan manual perlu dibuat dengan lebih terperinci bagi melindungi keselamatan akaun ahli.
Ahli-ahli dinasihatkan supaya menggunakan kaedah berkenaan dan tidak perlu hadir ke mana-mana cawangan KWSP semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.
Dalam pada itu, Pihak KWSP menasihatkan ahli-ahli agar tidak tertipu dengan sebarang skim penipuan dan hanya berurusan dengan KWSP sahaja.